Rotan pernah menjadi isu nasional tidak lama dahulu, dan hingga sekarang masih belum ditemui jalan penyelesaiannya. Isu ini bangkit adalah ekoran dari kemerosotan disiplin dan keruntuhan moral para pelajar. Sebelum ini, iaitu pada zaman ayah, abang dan kakak kita belajar, merotan adalah dibenarkan. Guru-guru bebas melaksanakan tugas mendisiplinkan para pelajarnya dengan tenang tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang bermacam-macam. Bukan setakat guru sekolah, malah guru al-Quran yang mengajar di rumahpun tak ketinggalan menggunakan rotan sebagai salah satu dari tindakan disiplin. Ibubapa pula ketika menghantar anaknya akan berkata: Saya serahkan anak saya ini pada ustaz, kalau anak saya buat salah ustaz buatlah apa sahaja, asal jangan buta, patah kaki dan tangan. Ini bukan ucapan perli, tetapi ikhlas dari lubuk hati seorang bapa yang mahukan anak-anaknya baik dan berguna.
Tanyalah ayah, abang dan kakak kita tentang guru dan rotan. Mereka akan menceritakannya. Mereka tidak pernah menganggap bahawa mereka kena rotan itu sebagai satu kenangan pahit, tetapi satu kenangan manis.
Sekarang ini segalanya telah berubah. Kalau dulu, pelajar takut dengan rotan tetapi sekarang ini guru pula yang takut dengan rotan. Kalau pelajar melakukan kesalahan, guru tidak boleh buat apa. Silap sikit orang tua datang menyerang atau masuk mahkamah.
Apabila isu rotan ditimbulkan, orang ramai dari segenap lapisan pun memberi pendapat. Pro dan kontra berlaku.
Bagi ibubapa yang bukan guru, ramai juga yang tidak setuju. Ya lah, yang akan kena rotan nanti adalah anak mereka juga. Kadangkala ibubapa tahu anak mereka itu nakal, tetapi mereka sukar mahu menerima kenyataan tersebut seandainya ia datang dari orang lain.
Bagi pihak guru-guru pula, memperkenalkan semula hukuman rotan amat dialu-alukan. Ya lah, merekalah yang terbabit secara langsung dalam bidang pendidikan, jadi mereka tahulah mana yang terbaik untuk anak-anak itu.
Sudah memang naluri ibubapa sayangkan anak-anaknya. Begitu juga dengan guru-guru, sudah nalurinya menyayangi para pelajarnya. Kedua-duanya menyayangi orang-orang yang sama, tetapi kasih sayang ibubapa terhadap anak-anaknya kadangkala sering dikelabui oleh rasa simpati dan kasih yang berlebihan. Ini akan mengakibatkan hancurnya masa depan anak ini. Mereka adakalanya tidak dapat menerima sesuatu yang menyakitkan anaknya itu sekalipun ia adalah yang terbaik untuk memulihkannya.
Manakala kasih sayang seorang guru lebih bersifat terbuka dan rasional. Mereka memandang terus kepada masa depan pelajarnya dengan jelas tanpa diselindungi oleh apa-apa hijab.
Sebab itulah sebahagian ibubapa terpaksa menghantar anaknya mempelajari al-Quran kepada orang lain. Bukan dia tidak boleh mengajar al-Quran, tetapi sukar disebabkan anak sendiri.
Seorang anak dapat menipu ibubapanya, tetapi mereka sukar untuk untuk menipu guru-gurunya. Banyak rahsia diri dan jiwa pelajar ada di dalam genggaman guru yang tidak diketahui oleh ibubapanya sendiri. Itulah kelebihan guru.. Dan betapa mulianya mereka.
******
Apa pula pandangan Islam tentang perlaksanaan hukuman rotan/sebat ini?
Hukuman sebat atau pukul ini memang telah wujud sejak dahulu lagi samada di rumah atau di sekolah. Tujuannya adalah untuk memberi pengajaran atau ajar adab kepada kanak-kanak. Syarak juga memberi kebenaran kepada suami untuk menyebat isterinya yang nusyuz yang tidak insaf selepas diberi nasihat dan berpisah tempat tidur.
Manakala di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. bersabda (ertinya):
Arahkanlah anak-anak kamu supaya mengerjakan sembahyang ketika berusia 7 tahun, dan pukullah ketika mereka berusia 10 tahun (jika enggan sembahyang), dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka. (HR Abu Daud)
Ini menunjukkan bahawa memang ada hukuman pukul di dalam Islam. Dan para amirul mukminin juga telah mengizinkan para guru melaksanakan hukuman pukul terhadap kanak-kanak ketika benar-benar perlu. Hukuman tersebut hendaklah berdasarkan mahu memberi pengajaran atau ajar adab, tidak kerana dorongan individu (marah, benci dsbnya).
Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan bahawa memukul pelajar itu dibenarkan dengan dua perkara:
1. Selepas memperoleh keizinan dari ibubapa atau penjaganya.
2. Apabila dirasakan secara zhan (70% kemungkinan) bahawa ia dapat memberi pengajaran.
3. Kanak-kanak itu tidak terlalu kecil umurnya.
Apabila dirasakan bahawa tidak memberi faedah dan pengajaran memukul pelajar kecuali dengan satu pukulan yang kuat serta benar-benar menyakitkan, maka tidak diperboleh melakukannya. Ini adalah berdasarkan ijmak, kerana hukuman dera disyariatkan adalah berdasarkan kemungkinan dapat memperbaikki kelakuan, lalu apabila ia dapat memberi mudarat maka hukuman dera itu ternafi (tidak boleh dijalankan).
Maksudnya, kalaulah seseorang pelajar itu dirasakan dari jenis yang tak berkesan kalau setakat dirotan sikit-sikit. Dia hanya akan serik kalau di pukul dengan benar-benar teruk (yang benar-benar menyakitkan), maka ketika itu tidak dibenarkan samasekali memukulnya. Kerana ia akan membawa mudarat kepada pelajar itu. Ia bertentangan dengan jiwa syariat yang diturunkan untuk memperbaiki bukan memberi mudarat.
*****
Jadi, jelaslah kepada kita di atas bahawa Islam tidak menyempitkan penggunaan rotan/sebatan sebagaimana akta yang ada sekarang ini sehingga guru-guru tidak dapat memberi adab dengan sewajarnya kepada para pelajar. Islam juga tidak memperluaskan penggunaan rotan sehingga guru boleh memukul sesuka hatinya.
Islam menggariskan dasarnya iaitu:
1. Memberi pengajaran
2. Menolak kemudaratan
Ayat Penawar Sakit
5 years ago
0 comments:
Post a Comment